SANDAKAN: Seorang wanita warga emas diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam rumahnya yang terkunci di tingkat satu, Flat Sri Taman, di sini malam tadi.
Mangsa berusia 67 tahun dipercayai mengalami strok dan terjatuh hingga tidak dapat bangun semula.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.59 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak membuka pintu gril menggunakan peralatan khas.
“Selepas berjaya dibuka, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat pada 8.32 malam,” katanya. – Info X