KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan amaran mengenai kes positif racun Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) yang dikesan di perairan Teluk Likas, di sini.
Menerusi satu notis amaran yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim, di sini, semalam, tahap racun berkenaan didapati melebihi paras bahaya.
Keadaan itu, katanya menyebabkan kerang- kerangan yang ada di perairan berkenaan menjadi beracun dan boleh memudaratkan kesihatan orang ramai jika dimakan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dinasihatkan agar orang awam tidak mengutip dan memakan kerang-kerangan dari kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan Sabah akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan pencemaran PSP sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, sebarang pertanyaan mengenai situasi berkenaan boleh diajukan kepada pegawai bertugas di Kompleks Perikanan Likas melalui talian 088-425890 dan 013-8668440 atau Penguasa Perikanan Daerah Kinabalu di talian 019-8620401.
PSP adalah racun atau toksik yang dihasilkan sejenis alga atau plankton yang membiak di perairan pantai barat Sabah, termasuk di Teluk Likas, di sini, biasanya ketika musim panas pada akhir dan awal tahun.
Pembiakan alga berkenaan dalam kadar yang banyak menyebabkan air laut kelihatan kemerahan dan atas sebab itu ia turut dikenali sebagai fenomena air pasang merah.
Selain Teluk Likas, antara lokasi lain yang sering dikesan kehadiran PSP di Sabah ialah di perairan Tuaran dan Tasik Sitompok, Kuala Penyu.
Kerang-kerangan adalah antara hidupan laut yang dikesan sering dicemari PSP apabila tiba fenomena air merah, manakala ikan masih selamat dimakan dengan membuang insangnya. – Info X