Search

PPM rampas 2,000 liter petrol disyaki cuba diseludup ke negara jiran

December 10, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 2,000 liter minyak petrol yang disimpan di dalam 10 tong dram besar di kawasan lapang di Kampung Mapan-Mapan, Pitas, di sini semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abd Nasir Othman berkata, rampasan dibuat kira-kira jam 3 pagi ketika sepasukan anggotanya melakukan Op Taring Landai Khas.

Katanya, pasukan PPM Kudat berjaya merampas 10 tong dram berisi minyak petrol.

“Selain itu, PPM Kudat turut merampas 12 tong dram besar kosong disyaki minyaknya telah di pam keluar untuk pemindahan ke dalam tong lebih kecil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua minyak petrol berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Tong dram berisi minyak petrol yang dirampas PPM Kudat selepas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. – Foto/PPM

“Semua minyak yang dirampas kemudian dibawa ke Jeti Marin PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,500,” katanya.

Katanya lagi, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X