Search

Cubaan seludup 21,075 liter petrol gagal

December 11, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan menyeludup keluar 843 tong jerikin berisi petrol gagal selepas berjaya dikesan dalam operasi di sekitar Pulau Denawan, di sini, Ahad lalu.

Dalam operasi jam 7 malam itu, semua barangan bersubsidi dirampas dalam serbuan dan pemeriksaan secara serentak di beberapa lokasi berasingan.

Hasil pemeriksaan, pasukan operasi turut menahan lima individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan barang-barang kawalan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi serbuan dijalankan atas maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, hasil serbuan, pihaknya berjaya menahan seorang rakyat tempatan dan empat warga asing berusia lingkungan 24 hingga 65 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 21,075 liter petrol yang disimpan di dalam 843 tong jerikin.

“Selain itu, pasukan operasi turut merampas empat bot dan lapan enjin bot berkuasa 15 hingga 85 kuasa kuda,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, semua petrol yang dianggarkan berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Katanya, semua rampasan termasuk enjin dan bot dianggarkan bernilai RM150,000 dan kes akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga 100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan memohon orang ramai supaya membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau jenayah.

Katanya, maklumat boleh disalurkan ditalian 089-782020 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan barang kawalan bersubsidi ke negara jiran,” katanya. – Info X