Search

Lelaki dilaporkan hilang ditemui lemas

December 13, 2023

Info X Reporters

RANAU: Lelaki yang dilaporkan hilang di hutan berhampiran Kampung Kimolohing, di sini ditemui lemas, pagi tadi.

Mangsa Fred Yassin, 42, ditemui pasukan penyelamat 300 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridzwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis jam 9.08 pagi tadi memaklumkan seorang lelaki hilang di hutan.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pada jam 11.30 pagi, pasukan penyelamat menemui mangsa di sungai iaitu 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindak lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa ditemui lemas di sungai oleh pasukan penyelamat. – Foto/ Bomba

Ridzwan berkata, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari.

Terdahulu, pada 11 Disember lalu, mangsa bersama keluarganya keluar ke kebun berhampiran intake logi air Bambangan.

Semua keluarga mangsa menggunakan jambatan gantung untuk ke kebun manakala mangsa telah turun ke Sungai Liwagu melalui bawah jambatan gantung.

Kali terakhir mangsa dilihat oleh keluarga jam 1.30 tengah hari, ketika mangsa menyeberangi sungai berkenaan. – Info X