KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan tekadnya untuk menurunkan kadar pengangguran belia menerusi tugas baharu yang digalasnya itu selepas rombakan Kabinet Persekutuan, semalam.
Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu, berkata kadar pengangguran belia yang kini pada tahap 10.1 peratus adalah antara isu penting yang akan beliau berikan perhatian dalam kementerian yang baru disertainya itu.
Katanya, beliau juga akan memberikan perhatian terhadap usaha ke arah meminimakan ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh (underempoyment) di negara ini.
“Sesuai portfolio baharu saya di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya akan memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh kementerian,” katanya dalam kenyataan sulungnya selepas diumum sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, semalam.
Ahli Parlimen Sepanggar itu menggantikan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Mustapha berkata, beliau turut memberi perhatian terhadap usaha memperkasa sinergi di antara akademik dan industri dalam mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kerangka Ekonomi Madani.
Beliau juga menggariskan usaha memastikan bakat yang mencukupi dalam negara bagi memenuhi permintaan pelabur dan memastikan libat urus antara pelajar dengan agensi kerajaan berjalan baik sebagai pendedahan kepada keperluan semasa.
Selain itu, katanya beliau juga mahu memastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal dan pada masa yang sama mempromosikan kesedaran kesihatan mental dan memperkasa kekuatan emosi serta spiritual pelajar.
Akhir sekali, Mustapha menggariskan usaha untuk membimbing pelajar dari kalangan miskin tegar untuk menghabiskan pengajian masing-masing.
Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peluang kepadanya menyambung perkhidmatan di Kementerian Pendidikan Tinggi selepas setahun berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada warga Kementerian Sumber Manusia yang banyak membantu kami dalam menggerakkan inisiatif untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menjaga kebajikan rakyat terutama warga pekerja,” katanya.
Beliau turut menyifatkan rombakan Kabinet yang dilakukan Perdana Menteri semalam sebagai sejajar dengan fokus Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat negara melalui kemakmuran ekonomi rakyat.
Katanya, walaupun saiz Kabinet bertambah, ia adalah jumlah yang optimum dan masih kecil berbanding kerajaan terdahulu.
Mustapha dan Mohd Yusof adalah antara empat Timbalan Menteri dari Sabah yang berpindah portfolio menerusi rombakan Kabinet Persekutuan semalam.
Dua lagi ialah Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Foong Hin sebelum ini menyandang portfolio yang diambil alih Arthur, manakala jawatan baharunya di Kementerian Perladangan dan Komoditi sebelum ini disandang Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching yang digugurkan dalam senarai baharu Kabinet Persekutuan. – Info X