KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai hampir RM80,000 di tebing Sungai Kampung Sinapokan, Menumbok, di sini semalam.
Tangkapan dan rampasan itu dijalankan menerusi Op Kontraban PPM Wilayah Empat Sabah hasil maklumat awam, kira-kira jam 10.30 malam.
Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abd Nasir Othman berkata, hasil operasi itu menahan lima lelaki berusia 19 hingga 59 tahun dan sebuah lori.
“Pemeriksaan terhadap barangan yang dipunggah mendapati sejumlah minuman keras yang tidak bercukai dipercayai diseludup dari Labuan.
“Kelima-lima suspek ditahan dan lori serta minuman keras dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan barang rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk urusan dokumentasi.
“Sejumlah keseluruhan termasuk lori bernilai RM155,224.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X