KOTA KINABALU: Khabar angin mengenai kerjasama Warisan dan Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang semakin kencang apabila Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar turut hadir pada perhimpunan agung tahunan Warisan, di sini, hari ini.
Malah, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal ketika ditemui berkata, kerjasama parti itu dengan Umno pada PRN akan datang “mudah-mudahan menjadi realiti”.
Katanya, Warisan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan Umno Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri ini.
“Kita duduk semeja (berbincang) dengan mereka (Umno Sabah) untuk kepentingan wilayah Sabah dan rakyatnya.
“Bagaimana ia dapat diterjemahkan untuk dijadikan kenyataan? Saya nyatakan kepada Bung bahawa kami disini, kalau perlu kerjasama antara kita (Warisan dan Umno Sabah) ialah untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan Kali ke 6 bertempat di Dewan Hakka Likas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shafie turut berkata beliau juga tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Umno Sabah mempunyai hasrat yang sama untuk menjalin kerjasama bersama pihaknya.
“Jika itu hasrat mereka, tiada sebab untuk kami katakan tidak kerana kami percaya setiap parti di Sabah, bila tiba masanya akan bekerjasama dengan parti di Kuala Lumpur (Semenanjung Malaysia).
“Ini bukannya tentang Warisan dan Umno tetapi adalah untuk kepentingan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui dalam program yang sama berkata pihaknya juga tidak mempunyai halangan menjalin kerjasama dengan Warisan.
Menurutnya, walaupun setakat ini Umno Sabah belum menjalin kerjasama secara rasmi bersama Warisan namun beliau mengakui kepentingan kerjasama diantara parti politik sebagai persediaan menghadapi PRN.
“Secara rasmi (kerjasama) belum namun kerjasama ini penting. Dalam hidup pun perlu ada kerjasama, suami isteri pun perlu ada kerjasama. Tidak ada kerjasama, tidak akan jadi (perkara yang ingin dicapai).
“Kerjasama mesti ada tapi bila, tidak tahulah,” katanya.
Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan Kali ke 6 yang berlangsung selama dua hari, sejak semalam telah dihadiri lebih 3,000 perwakilan dari seluruh Sabah.
Walau bagaimanapun, kehadiran Bung Moktar bersama rombongan Umno Sabah ke program terbabit hari ini telah mencuri tumpuan orang ramai.
Ketika ditanya pemberita mengenai kehadiran beliau ke program itu, Bung Moktar menjelaskan pihaknya memenuhi undangan dari Shafie.
“Saya berada di sini kerana diundang oleh presiden sendiri jadi saya rasa tidak ada salahnya. Warisan juga merupakan sebahagian dari komponen kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan jadi sepatutnya tidak ada masalah,” katanya. – Info X