PAPAR: Pembukaan pusat penempatan khas anak-anak tahanan imigresen, Baitul Mahabbah di Papar berfungsi untuk menguruskan kanak-kanak yang ditempatkan di Depot Imigresen Papar.
Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Papar adalah projek kedua selepas pembukaan Baitul Mahabbah yang pertama di Nilai, Negeri Sembilan pada 4 September 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Baitul Mahabbah merupakan penempatan kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan warga asing yang berusia kurang 10 tahun dengan atau tanpa penjaga.
Katanya, Baitul Mahabbah Papar ini mempunyai kapasiti sebanyak 100 orang di mana pada masa sekarang menempatkan seramai 62 orang iaitu 22 kanak-kanak lelaki, 18 kanak-kanak perempuan dan 22 perempuan dewasa iaitu ibu kepada kanak-kanak terbabit.
“Baitul Mahabbah kedua ini berfungsi untuk menguruskan kanak-kanak yang ditempatkan di Depot Imigresen Papar.
“Jumlah keseluruhan depot imigresen ada 21 termasuk Baitul Mahabbah dengan kapasiti 20,650 orang,” katanya ketika berucap selepas merasmikan Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Papar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga 12 Disember 2023, terdapat 12,435 orang di depot imigresen.
“Buat masa ini, seorang Komandan dengan empat Pegawai Imigresen dari Unit Kawalan Keselamatan (UKK) dan dibantu oleh sembilan anggota RELA akan bertugas secara syif di Baitul Mahabbah Papar.
“Dari aspek kesihatan, seramai dua Penolong Pegawai Perubatan dari
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ditempatkan di pusat jagaan ini.
“Penyediaan sajian makanan bermasak bagi penghuni di Baitul
Mahabbah Papar menggunakan kontrak perkhidmatan sajian makanan bermasak Depot Imigresen Papar sedia ada. Spesifikasi makanan adalah sepertimana saranan KKM,” katanya.
Menurutnya, antara kemudahan yang disediakan di Baitul Mahabbah Papar ini ialah ruang pembelajaran, ruang makan, ruang mengambil wuduk, ruang solat, pancuran air di bilik mandi, bilik pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta taman permainan kanak-kanak.
“Kemudahan ini berbeza dengan blok tahanan Depot Imigresen Papar yang kosong, yang hanya disediakan baldi dan kolah sahaja di ruang mandi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pada 2024, kerajaan merancang untuk membuka dua lagi Baitul Mahabbah.
“KDN dan JIM sedang mengenalpasti lokasi yang bersesuaian dan akan beroperasi di Mirii, Sarawak dan Tanah Merah, Kelantan.
“Saya ingin tegaskan bahawa inisiatif ini adalah salah satu komitmen kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti yang dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611)
dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC),” katanya. – Info X