Search

Lagi buaya besar ditumpaskan di Lahad Datu

December 15, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seekor lagi buaya besar berjaya ditangkap sebelum ditembak pihak berkuasa di Kampung Remang, di sini, malam tadi.

Reptilia sepanjang 4.8 meter dan lebar kira-kira satu meter itu ditemukan di belakang rumah penduduk kampung berkenaan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, bertindak atas aduan kehadiran reptilia itu, sepasukan kakitangan JHL Lahad datu bergegas ke lokasi berkenaan.

Kakitangan JHL Lahad Datu menjalankan pemeriksaan ke atas buaya yang ditembak di Kampung Remang, Lahad Datu. – Foto/JHL

Katanya, hasil pemantauan, didapati terdapat seekor buaya dikesan di belakang rumah penduduk Kampung Remang.

“Sebanyak lapan das tembakan telah dilepaskan pada jam 10.37 malam.

“Semua tembakan itu mengenai buaya berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, buaya tembaga jantan itu berukuran panjang 4.8 meter dan lebar kira-kira satu meter.

Buaya tembaga berjaya ditangkap sebelum ditembak di Kampung Remang, Lahad Datu. – Foto/JHL

“Seterusnya, bangkai buaya itu dibawa ke perumahan JHL Lahad Datu untuk dilupuskan.

“Buaya ini hampir sama dengan saiz buaya yang turut ditembak mati di Kampung Desa Bajau, Isnin lalu,” katanya.

Isnin lalu, seekor buaya seberat lebih 1.2 tan ditangkap sebelum ditembak pihak berkuasa di Kampung Desa Bajau.

Sebanyak tujuh das tembakan dilepaskan termasuk di kepala menyebabkan reptilia sepanjang hampir lima meter itu mati. – Info X