Search

Seleweng 17,195 liter diesel, lelaki didenda RM50,000

December 15, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas dia mengaku bersalah menyeleweng 17,195 liter diesel bersubsidi.

Pengakuan dibuat Manogaran Supaya, 67, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Noor Hafizah Mohd Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel berjumlah 17,195 liter di sebuah stor tidak bernombor di kampung Kionsom, Inanam pada 27 Februari 2023.

Tindakan tertuduh yang menggunakan dan mengambil barang berjadual iaitu minyak diesel melebihi had kuantiti 20 liter yang dinyatakan dalam Ruang Dua Jadual Bahagian IV Peraturan yang sama melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mahkamah mengarahkan agar tertuduh didenda RM50,000 atau hukuman penjara selama 30 hari sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

Mahkamah juga memerintahkan agar hasil jualan ekshibit bagi kes ini iaitu sebanyak RM37,141.20 dijadikan sebagai hasil kerajaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah Thomas Chua serta dibantu Kenny Jaikol Yangah. – Info X