PENAMPANG: Polis menahan lima lelaki dan merampas dadah jenis Methamphetamine atau syabu dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di daerah ini, kelmarin.
Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut merampas dua biji pil dipercayai ekstasi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dadah syabu yang dirampas seberat 209.60 gram serta dua pil ekstasi yang bernilai RM1,088.

Katanya, hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati empat daripada lima suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamin.
“Kelima-lima lelaki terbabit warga tempatan berusia 16 hingga 46 tahun.
“Polis turut melakukan ujian saringan air kencing ke atas 20 pengunjung pusat hiburan berkenaan dan didapati empat daripadanya positif dadah Methamphetamine dan Ketamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

“Semua individu terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya. – Info X