Search

Sabah FC kekal sebahagian besar pemain, tambah pemain tempatan

December 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC akan mengekalkan sebahagian besar pemainnya untuk membawa cabaran baharu Sang Badak, selain menambah pemain tempatan dalam skuad utama, pada musim depan.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya pada majlis menandatangani kontrak pemain Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, keputusan itu berdasarkan cadangan yang dikemukakan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dalam usaha mengekalkan pencapaian skuad Sang Badak pada musim baharu nanti.

“Pencapaian tahun ini perlu dikekalkan ke cabaran musim hadapan. Oleh itu saya bersetuju dengan cadangan Datuk Ong Kim Swee untuk mengekalkan sebahagian besar pemain musim ini ke musim hadapan, di samping menambah bilangan pemain tempatan yang diserapkan ke pasukan utama.

“Harapan saya agar pemain-pemain tempatan ini mendapat pengalaman daripada pemain senior khususnya yang pernah dan sedang menyarung jersi kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan tiga pemain Sabah FC menanandatangani kontrak bersama pasukan, di sini, hari ini.

Tiga pemain terbabit, masing-masing dua pemain tempatan iaitu Rawilson Batuil dan Umareng Bachok, manakala seorang pemain import, Ramon Machado de Macedo.

Ketiga-tiga mereka mengikat kontrak selama setahun lagi untuk bermain bersama pasukan Sabah FC.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengucapkan tahniah atas pencapaian Sabah FC berjaya mara ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC setelah menjuarai Kumpulan H dan mengekalkan prestasi selaku lima pasukan terbaik Liga Super 2023.

Beliau turut menyatakan harapannya agar skuad Sang Badak mampu memenangi perlawanan akhir saingan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas, di sini, malam ini.

“Saya berharap kita akan memenangi perlawanan terakhir menentang Kedah malam ini untuk mengekalkan kedudukan dalam carta seperti tahun lalu iaitu tempat ketiga,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata seramai 19 pemain Sabah FC pada musim ini masih kekal bersama pasukan kerana mempunyai baki kontrak sehingga musim depan.

Katanya, beberapa pemain lagi termasuk Mohd Amri Yahya yang bersara akan tamat kontrak dan mungkin meninggalkan pasukan.

“Amri bersara dan beberapa pemain lagi akan tamat kontrak bersama Sabah FC. Seperti biasa ini berlaku pada setiap musim, di mana pemain datang dan pergi tetapi seperti kita bincang bersama pengurusan, kita setuju untuk tambah pemain tempatan terutama dari Sabah untuk diketengah bersma pemain sedia ada dalam pasukan Liga Super bagi mengharungi musim akan datang,” katanya. – Info X