Search

4 mangsa banjir dipindahkan di Sandakan

December 19, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Empat penduduk terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki banjir di Kampung Garinono, Batu 25, Jalan Labuk, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.06 pagi.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kampung berkenaan sudah dinaiki banjir dan terdapat beberapa rumah yang terjejas.

“Setakat ini empat penduduk dipindahkan termasuk seorang lelaki yang mengalami patah kaki sebelum ini akibat kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Lokasi banjir di Kampung Garinono, Batu 25, Jalan Labuk, Sandakan. – Foto/Bomba

Menurutnya, operasi memindahkan penduduk yang lain akan dilakukan sekiranya keadaan banjir melebihi paras bahaya.

“Pasukan operasi masih memantau keadaan kampung berkenaan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X