Search

Tambang hingga RM700 setiap kali ke pekan – penduduk Kampung Magandai

December 19, 2023

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Penduduk Kampung Magandai, kira-kira 70 kilometer dari sini terpaksa mengeluarkan RM600 hingga RM700 tambang kenderaan pacuan roda untuk melancarkan pergerakan mereka setiap kali keluar pekan.

Bayaran tambang kenderaan yang tinggi itu berpunca keadaan jalan tanah merah dari perkampungan di pedalaman itu rosak teruk sehingga tiada pengangkutan sanggup mengadakan perkhidmatan di situ.

Penduduk, Suanie Din, 37, mendakwa jika penduduk tidak cukup wang, mereka terpaksa berjalan kaki pada jarak yang jauh bermula waktu subuh dan tiba di pekan Kota Marudu lewat petang.

“Sebahagian penduduk hanya keluar pekan jika ada urusan penting seperti membeli bekalan makanan dan menjemput anak dari asrama sekolah menengah.

“Perjalanan yang begitu mencabar dan menggugat iman… kalau bukan nak ambil anak yang belajar di sekolah menengah di pekan, tidaklah saya sanggup turun Kota Marudu dengan keadaan jalan yang sememangnya teruk.

“Namun, inilah lumrah kehidupan bagi kami dari Magandai,” katanya.

Beliau berkata, penduduk yang berjalan kaki dalam keadaan jalan penuh lumpur ketika musim hujan, terpaksa rehat beberapa kali di perjalanan dan menahan lapar.

Katanya, kami dan tenaga pengajar Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai sentiasa menanti keajaiban berlaku menyebabkan jalan kampung dinaiktaraf sebagai jalan berturap.

Penduduk dari Kampung Magandai berjalan kaki dengan menggunakan jalan tanah merah yang rosak untuk ke pekan Kota Marudu.

“Mungkin ramai di luar sana tidak percaya tambang kenderaan dari Magandai mencecah RM600 hingga RM700, namun itulah kebenarannya yang kami hadapi di Magandai,” katanya.

Penduduk hanya dikenali Matius, 66, mendakwa laluan tanah merah penghubung Magandai dengan Kota Marudu yang tidak dinaiktaraf itu menyebabkan kemudahan itu semakin rosak. – Info X