Search

Ditahan kurang 24 jam selepas curi lampu solar

December 20, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Tidak sampai 24 jam selepas disyaki mencuri enam set panel lampu solar di Jalan PPRT Taman Sri Bukit, di sini, dua lelaki warga asing ditahan polis, kelmarin.

Suspek berusia 31 dan 50 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat oleh orang awam, pada jam 4.35 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam memaklumkan berlaku kecurian beberapa set panel lampu solar orang yang tidak dikenali.

“Tiang lampu solar telah ditumbangkan di kawasan berkenaan dengan anggaran kerugian RM6,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil risikan dan tindakan pantas polis dari Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bombalai, telah berjaya memberkas dua lelaki disyaki melakukan jenayah berkenaan.

Pasukan serbuan menemui panel solar yang disembunyikan di dalam semak berhampiran tapak pelupusan sampah, Bukit Gemuk, Tawau.

“Kedua-dua lelaki terbabit adalah penganggur diberkas di kawasan Pelupusan Sampah Bukit Gemuk, pada 5.40 petang.

“Ketika ditahan suspek cuba bertindak melarikan diri dan akhirnya berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan,” katanya.

Beliau berkata, berpandukan arah oleh salah seorang suspek, membawa pasukan serbuan ke kawasan semak berhampiran tapak pelupusan sampah, Bukit Gemuk dan menunjukkan beberapa barang yang dicuri.

“Antaranya dua buah unit lampu solar dan empat unit panel solar yang disembunyikan di dalam semak kawasan berkenaan.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, hasil penahanan Kedua-dua suspek terbabit, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian membabitkan kemudahan awam di kawasan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X