Search

SAGA 2023 : Empat rekod baharu olahraga dicatat hari ini

December 21, 2023

Willie Jude

TUARAN: Acara Olahraga pada temasya Sukan Sabah (SAGA) kali ke-10 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuaran, di sini, menyaksikan empat lagi rekod baharu kejohanan dicatatkan, hari ini.

Empat acara berkenaan ialah 1,500 meter Lelaki dan Wanita; 400 meter Lelaki dan Lontar Peluru Lelaki.

Acara 1,500 meter Lelaki menyaksikan atlet Lahad Datu, Nikos Tai Ler Onn mencatat rekod baharu dengan catatan masa 4:17.12s untuk memenangi pingat emas.

Nikos meleburkan rekod lama milik Romieo Gomboh dari Kota Kinabalu yang mencatat masa 4:17.70s pada SAGA 2019.

Pingat perak bagi acara itu dimenangi Muhammad Naque Misnan dari Putatan dengan catatan masa 4:26.86s dan gangsa dimenangi atlet Beaufort Mohammad Ahsan Atta Ur Rahman dengan catatan masa 4:28.41s.

Acara sama bagi kategori Wanita pula menyaksikan Hizillawanty Jamain dari Keningau berjaya mencatat rekod baharu 4:59.81s untuk meraih pingat emas.

Hizillawanty meleburkan rekod yang sebelum ini dicipta atlet Pitas Marlin Hing William pada SAGA 2017 dengan catatan masa 5:10.59s.

Pemenang pingat perak bagi acara 1,500 meter wanita berjaya menangi Nur denisha Shazliatie Abdullah mewakili Kalabakan dengan catatan masa 5:27.57s dan gangsa dimenangi Nur Syifa Raisha Adnan Firdaus yang mewakili Kota Kinabalu dengan catatan masa 5:35.24s.

Sementara itu, bagi acara 400 meter Lelaki, atlet mewakili Kuala Penyu, Muhammad Khalil Helmi berjaya meraih pingat emas seterusnya memecahkan rekod kejohanan bagi acara itu dengan catatan masa 48.70s.

Rekod yang dicipta Khalil itu sekaligus berjaya meleburkan rekod yang dicipta Anchois Aron dari Keningau pada SAGA 2011 dengan catatan masa 49.58s.

Khalil (kanan) mencatat rekod baharu bagi acara 400 meter lelaki dengan cacatan masa 48.70s.

Pingat perak bagi acara sama berjaya dimenangi Aubrey Aron dari Keningau dengan catatan masa 50.94s dan gangsa dimenangi atlet mewakili Kalabakan Muhammad Firdaus Darus Salam dengan catatan masa 51.06s.

Satu lagi acara yang berjaya mencipta rekod baharu adalah menerusi acara Lontar Peluru yang dimenangi atlet Kunak Pang Hong Seng.

Hong Seng berjaya mencatat lontaran sejauh 13.55 meter sekaligus meleburkan rekod yang dicipta Mirach Han dari Tawau pada SAGA 2010 dengan catatan lontaran sejauh 13.35m.

Pingat perak bagi acara itu dimenangi Nathaniel Majid dengan lontaran sejauh 13.40m seterusnya mengalahkan rekod lama kejohanan.

Manakala pingat gangsa bagi acara itu berjaya dimenangi atlet mewakili Keningau Victer Ben Salleh @ Bindik dengan lontaran sejauh 11.55m.

Selain itu, turut berlangsung acara olahraga pagi tadi ialah Lompat Kijang yang dimenangi Mark Paladius (Tambunan) dengan jarak 13.91m membolehkan beliau meraih pingat emas; Eljoe Gotuoh (Tuaran) pingat perak dengan jarak 13.73m dan gangsa dimenangi atlet Tongod Cisse Paul dengan jarak 13.64m.

Turut berlangsung pagi tadi adalah acara 400 meter Wanita yang dimenangi atlet Sipitang  Priscellona Grace Kifli @ Hailary (emas); atlet Keningau Siti Nur Nadiah Mohammad Din (perak) dan atlet Tuaran Joeiviviean Jamson (gangsa).

Satu lagi acara diadakan pagi tadi adalah Rejam Lembing Wanita yang dimenangi atlet Keningau Maryjane Juberin (emas); Connila Baniau (perak) dari Ranau dan atlet Lahad Datu Asprillia Johnny (gangsa). – Info X