KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan berlaku kejadian penduduk mengalami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik dari sebuah lombong emas di Bukit Mantri, Balung, di Tawau.
Pengarahnya, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya mendapati tiada sebarang implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk di Kampung Balung Cocos dan penduduk Tawau secara umumnya.
Menerusi satu kenyataan, hari ini, beliau berkata penggunaan bahan toksik, iaitu sianida untuk mengekstrak emas di lombing terbabit dilakukan secara tertutup dan pelupusannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“JKNS ingin memaklumkan bahawa pihak Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPASS) mengesahkan sememangnya terdapat aktiviti perlombongan emas di lokasi yang telah diluluskan untuk beroperasi berdasarkan hasil laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
“JKNS dengan bantuan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau telah membuat siasatan serta verifikasi berhubung aduan ini. Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang dinyatakan berlaku,” katanya.
Beliau mengulas laporan sebuah portal mengenai penduduk yang didakwa mengalami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik yang didakwa akibat aktiviti lombong haram di Bukit Mantri, Balung, di Tawau.
Dr Asits berkata, semua fasiliti kesihatan swasta, kerajaan dan hospital tidak melaporkan sebarang kes yang dikaitkan dengan keracunan sianida dalam kalangan penduduk di kawasan sekitar lombong terbabit.
Katanya, hasil siasatan dan pemeriksaan di kawasan kampung sekitar juga mendapati tiada individu yang mengalami gejala.
“Pencemaran sianida boleh menyebabkan pencemaran udara dan air. Pencemaran ini boleh memberi kesan kesihatan negatif kepada individu yang terdedah.
“Kesan khusus keracunan sianida kepada kesihatan adalah gejala seperti kekeliruan, perubahan tingkah laku, mengantuk yang berlebihan, sesak nafas, sakit kepala, pening, muntah, sakit perut dan pengsan,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Asits berkata, JKNS menasihati penduduk supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan jika mengalami.gejala.
“JKNS bersama dengan agensi lain yang berkaitan akan terus memantau situasi kesihatan penduduk. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X