KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam menangani ancaman rasuah di sektor maritim.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, melalui kerjasama erat yang terjalin bersama SPRM Sabah mampu meletakkan nama sebagai sebuah agensi keselamatan yang berintegiriti dalam penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan negara.
“Hari ini, APMM Sabah dan Labuan menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dalam menangani ancaman rasuah di sektor maritim.
“Malah menyokong usaha-usaha pencegahan yang diterapkan oleh SPRM,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Kunjungan itu bertepatan dengan hasrat Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, yang telah menggariskan integriti sebagai keutamaan yang perlu ada kepada semua warganya dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Pada pertemuan itu, Che Engku Suhaimi juga memaklumkan, kedua-dua pihak turut membincangkan topik berkaitan pencegahan rasuah, integriti dalam melaksanakan undang-undang serta kerjasama diantara agensi-agensi penguatkuasaan negara dalam pelaksanaan operasi bersepadu di perairan negara.
Katanya, hasil daripada kunjungan itu juga, kedua-dua pihak turut menyatakan kesepakatan untuk meningkatkan pertukaran maklumat dan kepakaran bagi memastikan tindakan pencegahan rasuah yang membabitkan aktiviti penguatkuasaan di perairan negara berkesan.
Terdahulu, SPRM Sabah merakamkan terima kasih kepada APMM atas kerjasama yang kukuh dalam melaporkan cubaan rasuah yang berlaku kepada kru KM Arau dalam siri operasi di sekitar Zon Maritim Kudat, pada 11 Disember lalu.
Tindakan tepat anggota APMM membuktikan integriti pegawai dan anggota penguat kuasa APMM adalah amat tinggi. – Info X