KOTA KINABALU: Kontinjen Kota Kinabalu mengulangi kejayaan mereka pada Sukan Sabah (SAGA) 2019 di Keningau apabila muncul sebagai juara keseluruhan untuk edisi ke-10 temasya berkenaan, tahun ini.
Walaupun SAGA 2023 hanya akan melabuhkan tirainya esok, namun Kota Kinabalu tidak lagi mampu digugat mana-mana kontinjen apabila mereka kini mengumpul 32 pingat emas, 25 perak dan 30 gangsa.
Ini kerana hari terakhir temasya itu esok hanya menawarkan empat lagi pingat emas iaitu bagi acara bola sepak dan hoki, masing-masing untuk kategori lelaki dan wanita.
Pesaing terdekat Kota Kinabalu ialah Keningau yang turut mengesahkan tempat di kedudukan kedua dengan pungutan pingat 17 emas, 15 perak dan 25 gangsa.
Keningau juga masih berpeluang untuk mengutip satu lagi pingat emas atau sekurang-kurangnya perak apabila mereka bakal beraksi dalam final acara hoki bertemu Kota Belud, di Stadium Hoki Kompleks Sukan Likas, di sini, pada jam 4.30 petang.
Sementara itu, Sandakan muncul pemenang tempat ketiga SAGA kali ini apabila berjaya mengutip 15 pingat emas, 10 perak dan 21 gangsa.
Selain acara hoki, turut berlangsung pada hari terakhir esok ialah final bola sepak lelaki dan wanita yang akan berlangsung secara serentak bermula jam 3.15 petang.
Bagi kategori lelaki, perlawanan akan menemukan pasukan Telupid dan Tenom yang akan diadakan di Stadium Likas.
Manakala bagi kategori wanita, perlawanan akhir menemukan antara Tenom dan Ranau akan berlangsung di Padang SAFA.
Dalam pada itu, final bagi acara hoki kategori wanita pula menyaksikan Kudat bakal berentap dengan Putatan yang akan bermula jam 3 petang.
Pada sebelah malam, perasmian penutupan SAGA ke-10 akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) seawal jam 7 malam.
Malam esok juga akan turut dinobatkan olahragawan dan olahragawati SAGA edisi ke-10. – Info X