Search

Wanita lumpuh rentung, empat cedera dalam kebakaran 12 rumah di Kalansanan

December 22, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita lumpuh rentung manakala empat cedera termasuk ibu mengandung dalam kebakaran membabitkan 12 rumah di Kalansanan, Inanam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa Idam Hamid berusia lingkungan 50 tahun ditemukan dalam keadaan rentung oleh pasukan bomba sebaik kebakaran dapat dikawal.

Tangisan sedih ahli keluarga selepas lihat mayat mangsa yang terkorban dalam kebakaran di Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu.

Ketua Zon Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.10 malam.

Katanya, seramai 31 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak dan pasukan bomba segera melakukan pemadaman.

“Api berjaya dikawal jam 1.16 pagi dan menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu.

Katanya, tiga mangsa termasuk seorang wanita berusia 16 hingga 20 melecur dan seorang wanita mengandung berusia 23 tahun pengsan.

“Semua mangsa terbabit kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Kebakaran itu menyebabkan 12 rumah yang dihuni 14 keluarga musnah sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa.

Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Abdul Mukti Muchlish berkata, semua mangsa kebakaran akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas. – Info X