Search

Pusat hiburan beroperasi tanpa lesen diserbu

December 22, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Kedegilan sebuah pusat hiburan di Jalan Bundusan, di sini, beroperasi tanpa lesen sah mengundang padah apabila diserbu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dalam serbuan itu seramai 28 individu yang berada di dalam premis berkenaan diperiksa.

“Ketika serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pihak polis menjalankan pemeriksaan terhadap 28 individu yang berada di dalam pusat hiburan berkenaan.

“Polis menahan pengurus pusat hiburan berkenaan selepas mendapati premis beroperasi hiburan awam tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan polis memeriksa pengunjung di pusat hiburan berkenaan. – Foto/PDRM

Menurutnya, semua peralatan muzik milik premis itu turut dirampas untuk tindakan lanjut.

“Individu yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Hiburan 1958,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi bagi memastikan tiada kesalahan sama dilakukan pada masa hadapan.

“Pengusaha premis hiburan di daerah ini juga dinasihat supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menjalankan perniagaan mengikut prosedur yang betul,” katanya. – Info X