Search

Ada yang tiada stamina, kelayakan atlet ke SAGA perlu diteliti – Ellron

December 22, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, pemilihan dan kelayakan atlet ke Sukan Sabah (SAGA) perlu diteliti supaya kualiti atlet yang bertanding sentiasa terjaga.

Katanya, atlet yang bertanding dalam temasya berkenaan perlulah mempunyai stamina serta teknik yang baik dan bukan hanya sekadar ‘cukup-cukup’ syarat untuk bertanding.

“Saya sendiri dapat lihat, ada yang kurang stamina, ‘skill’ pun tiada dan ada yang tidak dapat habiskan pertandingan.

“Ada juga saya terima komen seolah-olah atlet diambil hanya untuk bertanding semata-mata saja terutama sukan kombat (pertarungan).

“Saya lihat sukan kombat, ada yang tiada stamina, tidak dapat habiskan pertandingan dan terpaksa diusung keluar,” katanya dalam sidang media, di Pusat Media SAGA kali ke-10, di Wisma Muis, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ellron berkata, seramai 289 atlet membabitkan 10 acara telah menarik diri daripada menyertai SAGA kali ini walaupun sudah mendaftar.

Katanya, tidak dinafikan antara sebab mengapa atlet berkenaan tarik diri ialah kerana tidak mencapai tahap yang diharapkan di samping masalah-masalah teknikal lain termasuk kecederaan.

“Ini sebenarnya tidak bagus, sudah daftar tarik diri pula, kita harap perkara ini akan diperbaiki pada edisi akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ellron berkata, antara daerah yang menonjol pada SAGA kali iniialah Kunak, Kuala Penyu, dan Tuaran.

Katanya, kontinjen yang menunjukkan peningkatan paling ketara ialah Kunak yang berjaya memperolehi empat pingat emas, sekali gus menamatkan kemarau emas mereka di SAGA.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga daerah yang kurang memberi saingan dalam temasya kali ini terutama Semporna yang langsung tidak memenangi sebarang pingat emas.

“Kunak tidak pernah memenangi pingat emas sepanjang edisi SAGA yamg dianjurkan sebelum ini.

“Bagaimanapun pada SAGA kali ini, Semporna dilihat kurang memberi saingan dan tidak memenangi sebarang pingat emas walaupun pada edisi-edisi lalu mereka pernah meraih emas,” katanya.

Sementara itu, Ellron turut berkata, jawatankuasa teknikal dan pertandingan akan memperkenalkan 28 jenis sukan teras pada SAGA akan datang berbanding 22 jenis sukan pada edisi kali ini.

“Selain itu, sistem scoring juga akan diguna sepenuhnya untuk sukan tinju, silat dan karate pada edisi SAGA akan datang,” katanya lagi.