Search

Lelaki ditahan curi komponen elektrik milik SESB

December 23, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Polis berjaya menyelesaikan kes curi komponen elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan tertangkapnya seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawa, Kimanis, di sini, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 25 tahun dipercayai terbabit dalam kes kehilangan komponen elektrik di Pencawang Elektrik Tanaki, Kinarut pada 4 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, bertindak atas aduan kehilangan komponen elektrik milik SESB, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar menjalankan siasatan.

“Pasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jawa, Kimanis, kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Hasil serbuan itu, menahan seorang lelaki dan turut dirampas bersama suspek satu biji beg galas berisi beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah curi kabel atau komponen pencawang SESB,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Polis menahan suspek dan turut menemui motosikal curi dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jawa, Kimanis, Papar. – Foto/PDRM

Menurutnya, selain itu pasukan polis menemui motosikal jenis Honda EX5 warna hitam dipercayai digunakan oleh suspek.

“Semakan nombor enjin dan chasis motosikal mendapati kenderaan itu tersenarai sebagai kenderaan hilang di Kota Kinabalu.

“Suspek ditahan dan alatan serta motosikal dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kamaruddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. – Info Xuri