KENINGAU: Seorang lelaki yang juga Orang Bebas Berlesen (OBB) maut dipercayai dipukul dengan objek keras oleh rakan sekerjanya yang juga OBB dalam kejadian di premis cuci kenderaan di Jalan Apin-Apin, di sini, Ahad lalu.
Mangsa lelaki berusia 52 tahun yang bekerja cuci kenderaan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Keningau, pada 11.08 pagi.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan mendapati mangsa di bawah seliaan Pejabat Parol Keningau, bekerja di premis cuci kenderaan tidak sedarkan diri disyaki terjatuh ketika dalam perjalanan ke Hospital Keningau.
“Selepas mendapat rawatan awal di Hospital Keningau pada Ahad, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada hari yang sama serta disahkan positif Covid-19.
“Pada awalnya kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) mangsa terjatuh dipercayai suspek yang hendak menyembunyikan fakta sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian belakang kepala mangsa yang belum dapat dipastikan puncanya.
“Hasil scan mendapati terdapat kesan retak pada tengkorak yang mungkin menyebabkan pendarahan dalaman,” katanya.
Susulan itu, Yampil berkata, siasatan dijalankan dan menahan seorang lelaki yang juga OBB yang bekerja di premis sama dengan mangsa.

“Polis turut merampas penyodok tanah dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Punca kejadian dipercayai suspek tidak puas hati dengan mangsa kerana malas bekerja dan mereka sering bertengkar mulut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dan suspek adalah OBB yang masih menjalani hukuman penjara dan juga rakan sekerja serta tinggal di tempat yang sama milik majikan mereka.
“Suspek berusia 30 tahun mempunyai tiga kes jenayah dan dua kes narkotik. Siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X