Search

Dua remaja bersaudara lemas di Papar

December 26, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Seorang lelaki dan anak saudaranya ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Kaiduan, Kinarut, di sini, petang tadi.

Mangsa Maxemanual Jurus, 18, dan Alvin Shane Surazal, 14 disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama beberapa ahli keluarganya mengunjungi sungai untuk melakukan aktiviti mandi manda sebelum mangsa tenggelam ke dasar sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 petang.

Katanya, dua remaja lelaki dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti mandi di sungai berkenaan.

“Kedua-dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam dan diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pegawai perubatan KKM turut bertindak memberi CPR kepada mangsa.

“Bagaimanapun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh KKM jam 5.48 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lokasi mangsa lemas di Sungai Kaiduan, Kinarut, Papar. – Foto/Bomba

Menurutnya, mayat Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 6.28 petang tadi,” katanya. – Info X