KOTA MARUDU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di hutan belakang rumahnya di Kampung Delima Darat Pitas di sini, berjaya ditemukan sejam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan.
Bagaimanapun, Jasbidin Balon, 40, melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan sebaik menyedari kehadiran pasukan penyelamat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat kejadian, operasi SAR dimulakan pada jam 12.04 tengah hari bersama beberapa agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung di sekitar kawasan rumah mangsa.
“Kira-kira sejam kemudian, pada jam 1.10 petang, mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung di kawasan kolam.
“Mangsa kemudian dilaporkan melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil perbincangan bersama PDRM memutuskan untuk menangguhkan operasi SAR pada jam 4 petang dan akan disambung kembali esok.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini pihak bomba memperoleh maklumat berkenaan kehilangan mangsa daripada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu pada jam 8.21 pagi.
“Bertindak dengan panggilan diterima Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 56 kilometer dari jarak balai bagi menjalankan operasi,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal dari pengadu yang juga isteri mangsa, lelaki terbabit disedari hilang pada jam 10 pagi Sabtu lalu.
“Sebelum kejadian mangsa keluar dari rumah dengan membawa pisau pemotong daging menuju ke hutan di belakang rumah mereka.
“Pengadu meminta anaknya untuk mengekori bapanya, bagaimanapun sebaik sampai di hutan mangsa tidak lagi kelihatan,” katanya.
Tambahnya, mangsa juga dilaporkan mengalami kemurungan semenjak kematian bapanya. – Info X