KOTA KINABALU: Seramai 148 penduduk di Sandakan dan daerah kecil Paitan dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir yang bermula petang tadi.
Daripada jumlah itu, seramai 142 mangsa ditempatkan di Masjid Nur Iman, Kampung Sungai Memanjang, Sandakan yang dijadikan PPS, manakala enam mangsa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol, Paitan.
Jumlah itu berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah yang dikeluarkan setakat jam 8 malam tadi.
Sekretariat berkenaan berkata, banjir disytiharkan melanda beberapa kampung di Paitan bermula jam 2 petang tadi sebelum PPS SMK Pamol dibuka, manakala di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan, banjir disytiharkan pada jam 3.45 petang tadi.

Berdasarkan situasi semasa di kedua-dua lokasi, katanya jumlah mangsa banjir di kedua-dua kawasan dijangka terus meningkat.
Petang tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat yang tertumpu di bahagian Sandakan, Kudat dan tengah negeri Sabah yang berkuat kuasa hingga jam 9 malam tadi. – Info X