KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Sandakan dan daerah kecil Paitan meningkat kepada 180 orang pagi ini, berbanding 148 orang malam tadi.
Daripada jumlah itu, seramai 152 orang berada di PPS Masjid Nur Iman, Kampung Sungai Memanjang, Sandakan, meningkat 10 orang mangsa berbanding 142 orang malam tadi.
Sebuah PPS baharu turut dibuka malam tadi, membabitkan 27 mangsa di daerah kecil Paitan yang dipindahkan ke rumah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cocos, manakala PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol, Paitan kekal enam mangsa.
Jumlah itu berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah yang dikeluarkan setakat jam 8 pagi tadi.
Sekretariat berkenaan berkata, banjir diisytiharkan melanda beberapa kampung di Paitan bermula jam 2 petang semalam sebelum PPS SMK Pamol dibuka, disusuli PPS rumah JPKK Cocos, manakala di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan, banjir disytiharkan pada jam 3.45 petang semalam. – Info X