Search

Warisan nafi sekeras-kerasnya dakwaan dikait sindiket dadah

December 27, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Setiausaha Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan kes sindiket terbesar dadah di Sabah dengan parti itu.

Katanya, dakwaan yang disebarkan menerusi media sosial itu satu tuduhan liar dan fitnah politik yang cuba menjatuhkan reputasi Warisan serta pemimpin-pemimpinnya.

“Warisan menyambut baik kejayaan PDRM bersama ESSCOM di dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Sabah seperti yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Warisan berpendapat bahawa mereka yang disyaki terlibat mestilah disiasat dan biarlah Mahkamah mengadili mereka mengikut undang-undang.

“Namun begitu, Warisan kesal masih ada segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengaitkan kes tersebut dengan Warisan seperti yang telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya Warisan mendapat dana daripada aktiviti tersebut.

“Sebagai amaran, Warisan dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar itu dan menganggapnya ia sebagai satu fitnah politik melampau bagi tujuan untuk menjatuhkan reputasi Warisan serta pemimpin-pemimpinnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loretto turut menegaskan, sekiranya dakwaan berkenaan terus berlaku, parti itu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan Warisan dalam apa-apa aktiviti atau sindiket haram yang melanggari undang-undang atau menyebarkan fitnah. – Info X