KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia akibat lemas dipercayai ketika menjala ikan di sungai Kampung Gaur, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 83 tahun ditemui penduduk kampung kira-kira jam 1 tengah hari sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, sepasukan anggota dan pegawai diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hasmaddy Agum bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 1.15 tengah hari.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung.
“Pasukan bomba kemudian mengangkat mayat mangsa ke tepi sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada 2.40 petang,” katanya. – Info X