Search

Dua maut, satu cedera kemalangan di Jalan Kimanis-Keningau

December 29, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Dua maut manakala seorang lagi penumpang cedera dalam kemalangan di kilometer 45 Jalan Kimanis-Keningau, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah lori kargo lima tan dan kereta sewa jenis Proton Persona yang dinaiki tiga sekeluarga.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, dua mangsa yang disahkan maut adalah membabitkan pemandu, 33, dan penumpang hadapan Proton Persona yang berusia 32 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kereta Proton Persona bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Keningau manakala lori berkenaan pula menuruni bukit dari arah bertentangan.

Dua mangsa maut di lokasi kejadian di kilometer 45 Jalan Kimanis-Keningau, Papar. – Foto/PDRM

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Proton Persona dipercayai gagal mengawal kenderaan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan Proton Persona meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruddin berkata, seorang lagi wanita penumpang Proton Persona pula dilaporkan mengalami kecederaan terpaksa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Katanya, seorang lagi penumpang kanak-kanak, 1 tahun dan pemandu serta kelindan lori masing-masing berusia 31 dan 35 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Proton Persona dipercayai gagal mengawal kenderaan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan. – Foto/PDRM

“Siasatan mendapati, Proton Persona berkenaan adalah kereta sewa yang dinaiki tiga sekeluarga termasuk penumpang hadapan yang maut di lokasi kejadian.

“Punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu Proton Persona yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga memasuki lorong bertentangan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X