KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan empat lelaki dan merampas 472 kampit beras dipercayai cuba diseludup ke negara jiran di kawasan laut Mantabuan, Semporna, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Keempat-empat suspek berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun itu ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan oleh PPM Semporna yang sedang dalam tugas Op Taring Gelora di kawasan berkenaan.
Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abd Nasir Othman berkata, bot jenis pukat ikan kalibu itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan dalam ruany bot menemui 472 kampit beras berisi 10 kilogram setiap kampit.
“Juragan gagal menunjukkan surat kebenaran daripada pihak kawal selia padi dan beras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua beras berkenaan disyaki hendak diseludup ke negara jiran.

“Tangkapan tiga lelaki warga Filipina dan seorang warga tempatan. Semua tangkapan dan rampasan di bawah ke Jeti Marin PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan beras termasuk bot dan enjin berjumlah RM88,216,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes dirujuk ke Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” katanya. – Info X