Search

Polis tahan 2 warga asing disyaki curi motosikal

December 28, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga asing kerana disyaki terbabit kes curi sebuah motosikal di kawasan Brumas, Kalabakan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan di Balai Polis Sri Indah, di sini mengenai kehilangan sebuah motosikal di Kampung Balung Cocos.

Katanya, sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai dan Balai Polis Bandar Sri Indah dibantu Polis Bantuan Sabah Softwoods Sdn Bhd menjalankan operasi di kawasan Brumas.

“Pasukan operasi mengesan seorang lelaki sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang Brumas Kalabakan.

“Polis terus bertindak menahan lelaki terbabit dan mendapati motosikal berkenaan bukan miliknya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, motosikal berkenaan dicuri dan pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Hasil pandu arah suspek, polis kemudian berjaya mengesan suspek kedua yang disyaki turut terlibat mencuri motosikal berkenaan.

“Suspek cuba bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan pasukan operasi, sebelum berjaya ditangkap,” katanya.

Jasmin berkata, hasil pemriksaan lanjut, kedua-dua suspek berusia 16 dan 33 tahun itu adalah warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X