PENAMPANG: Polis menahan 16 individu termasuk dua pengurus pusat hiburan dalam Op Noda dan Op Pusat Hiburan di dua pusat hiburan di daerah ini, awal pagi tadi.
Operasi selama tiga jam yang berakhir pada 2.30 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan pertama, dua lelaki ditahan kerana positif dadah jenis Methamphetamine hasil saringan ujian air kencing ke atas 81 pekerja dan pengunjung di premis berkenaan.
“Serbuan itu juga, polis turut menahan kedua-dua pengurus pusat hiburan bersama seorang deejay.
“Mereka ditahan atas kesalahan premis beroperasi hiburan awam tanpa lesen dan merampas peralatan muzik milik premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, enam wanita asing turut ditahan kerana menyalahguna pasport untuk bekerja di premis berkenaan.
“Manakala empat lelaki warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri yang sah.
“Semua individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata serbuan kedua di pusat hiburan, polis menahan seorang penjaga premis berkenaan dan merampas peralatan muzik milik premis kerana beroperasi tanpa lesen.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis hiburan di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
“Polis turut menasihatkan pengusaha premis pusat hiburan supaya menjalankan perniagaan mengikut prosedur undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya. – Info X