Search

Leka, sakan di Tahun Baharu

January 1, 2024

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Bertempiaran lari hingga ada yang bertindak terjun dari tingkat satu selain ada yang berpura-pura tidur, alasan mabuk.

Itu antara gelagat panik sekumpulan pengunjung sejurus menyedari premis pusat hiburan di tingkat satu, KK Taipan, di sini, diserbu sepasukan polis, kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Operasi Op Noda (Pusat Hiburan) itu membabitkan pegawai dan anggota dari semua cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, ketika melaksanakan rondaan pemantauan sempena Operasi Ambang Tahun Baharu, pihaknya menerima aduan awam mengenai pusat hiburan yang masih beroperasi walaupun masa yang ditetapkan sudah tamat.

Ketua JSJ IPK Sabah, SAC Azmi Abd Rahim memeriksa dokumen pengunjung di pusat hiburan di KK Taipan, Inanam, Kota Kinabalu.

“Saya bersama pegawai dan anggota dari semua cawangan JSJ Kontinjen Sabah kemudian menjalankan pemeriksaan ke pusat hiburan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi itu, mendapati premis masih lagi beroperasi sebelum pasukan serbuan membuat pemeriksaan ke atas semua pekerja.

“Turut diperiksa pelanggan terdiri daripada 66 wanita dan 29 lelaki yang sedang berada dalam premis berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Operasi disertai Pegawai Turus D9 IPK Sabah, Superintendan Alhusin Halil.

Ketua JSJ IPK Sabah, SAC Azmi Abd Rahim bersama pegawai dan anggota menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di KK Taipan, Inanam, Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membuat ujian saringan air kencing ke atas 10 lelaki dan semua mereka bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.

Katanya, penjaga premis wanita berusia 37 tahun ditahan kerana menjalankan operasi tanpa lesen hiburan awam lebih masa.

“Turut ditahan enam lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun kerana tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah.

“Pasukan serbuan merampas peralatan muzik yang digunakan dalam premis berkenaan. Rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Azmi bersama pegawai dan anggota semua cawangan JSJ Kontinjen Sabah menjalankan rondaan termasuk pemantauan di sekatan Jalan raya (SJR) di Penampang dan Putatan. – Info X