Search

Warga emas hilang ditemui meninggal dunia

January 1, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Lelaki warga emas yang dilapor hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Pirasan, di sini ditemukan meninggal dunia, malam tadi.

Mangsa Lin Thien Pow @ Henry Lin, 62, dikatakan masuk ke kebunnya di Bukit Bendera kira-kira jam 9 pagi dan sehingga jam 10 malam mangsa masih belum pulang ke rumah.

Bimbang keselamatan mangsa, ahli keluarganya kemudian menghubungi pihak keselamatan untuk bantuan mencari dan penyelamat (SAR).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.08 malam.

Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi pencarian.

“Sebaik tiba di lokasi, operasi pencarian dijalankan dan kira-kira jam 11.34 malam tadi, mangsa berjaya ditemui 50 meter dari lokasi kereta mangsa ditinggalkan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 1.15 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui terbaring di kebunnya di Bukit Bendera.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan didapati punca kematian adalah serangan jantung.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR,” katanya. – Info X