Search

Lelaki diselamatkan, cuba bunuh diri berenang ke laut

January 1, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipercayai cuba membunuh diri gagal selepas diselamatkan nelayan dalam kejadian di Jalan Persisiran Pantai, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berusia 34 tahun cuba membunuh diri dengan berenang ke tengah laut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.15 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa berjaya diselamatkan oleh nelayan yang menyedari mangsa hampir lemas.

“Dua anggota bomba bertindak berenang sejauh 200 meter untuk menenangkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lelaki warga asing diselamatkan selepas dipercayai cuba membunuh diri dengan berenang ke laut di Jalan Persisiran Pantai, Tawau. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa naik ke pesisir pantai.

“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 5.54 petang,” katanya.

Operasi menyelamat turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM). – Info X