PUTATAN: Seorang pesara tentera maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Papar – Kota Kinabalu, berhampiran stesen minyak, di sini malam tadi.
Dalam kejadian 7.53 malam itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan menghala ke Kota Kinabalu.
“Akibat kemalangan itu, pemandu yang juga pesar tentera disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang penumpang di tempat duduk hadapan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik HQE I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X