Search

Muat barang kawalan lebih had, bot kargo ditahan

January 7, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan sebuah bot kargo dengan muatan barang kawalan yang melebihi had dibenarkan di kedudukan 0.89 batu nautika Utara Sungai Melayu, semalam.

Bot karga yang dikendalikan juragan dan kru warga tempatan ditahan bot peronda APMM Zon Tawau yang menjalankan Operasi Khas Cegah PATI dan Operasi Tiris di kawasan berkenaan, jam 5.30 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahlizan Raman berkata, hasil pemeriksaan mendapati juragan dan kru bot membawa muatan beras dan gula melebihi had yang telah ditetapkan.

“Kedua-dua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kastam 1967, membawa barang melebihi menifest dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu membawa 3 tan beras dan 3.5 tan gula.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000 selain turut gagal mengemukakan lesen bot,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot kargo bersama juragan dan kru dibawa jeti dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Hasil pemeriksaan mendapati juragan dan kru bot membawa muatan beras dan gula melebihi had yang telah ditetapkan.

“APMM akan terus tingkatkan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas anggota APMM.

“Orang awam juga diseru untuk meberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat salah laku jenayah yang berlaku di laut kepada Zon Maritim Tawau ditalian 089- 752116 atau hubungi MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X