Search

Pemandu maut dihempap perabot selepas terselamat dari kemalangan

January 7, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki maut dihempap perabot ketika memindahkan barangan berkenaan dari lori yang terbalik di Jalan Labuk, Batu 17, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Nawawi berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu sebelum itu, pemandu dan kelindan lori terbabit terselamat dalam kemalangan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan kemudian digerakkan ke tempat kejadian.

“Laporan kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan membawa muatan barangan perabot hilang kawalan lalu terbalik di atas jalan raya.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan jentera bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Menurut saksi mangsa dipercayai dihempap barang perabot ketika kerja-kerja memindahkan barang perabot dari lori yang terbalik.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada 10.56 pagi. – Info X