Search

Dua keluarga terperangkap banjir diselamatkan

January 7, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Pasukan bomba menyelamatkan empat individu dari dua keluarga termasuk suami isteri yang terperangkap dalam banjir di Kampung Pomonsukan, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan kecemasan bencena banjir berkenaan jam 2.18 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari BBP Kudat dikerahkan ke lokasi berkenaan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, empat individu iaitu dua beradik berusia 26 dan 55 tahun serta suami isteri berusia 34 dan 37 tahun terperangkap di kawasan kebun akibat banjir ketika menjalankan aktiviti berkebun.

“Semua mangsa tidak dapat menyeberangi anak sungai yang dinaiki air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba menggunakan tali penyelamat untuk menyelamatkan dua keluarga yang terperangkap dalam banjir di Kampung Pomonsukan, Kudat. – Foto/Bomba

Menurutnya, pasukan bomba bertindak menyelamatkan semua mangsa dengan menggunakan tali penyelamat dan Personal Floating Device (PFD) untuk menyeberangi sungai berkenaan.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan serta diselamatkan oleh pasukan bomba ke tempat yang lebih selamat.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan kira-kira jam 6 petang tadi,” katanya. – Info X