Search

Lawatan Zahid ke Sabah tiada kaitan pergolakan politik

January 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah bermula malam ini sehingga esok tiada kaitan dengan spekulasi pergolakan politik di negeri ini.

Setiausaha politik beliau, Datuk Jamal Nerubi, berkata kehadiran Zahid yang juga Presiden UMNO ke Sabah adalah untuk memenuhi jemputan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Bendecik.

Katanya, ia adalah program rasmi Timbalan Perdana Menteri di Kota Belud esok bagi merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Ewon.

“Lawatan ini tiada kaitan dengan pergolakan politik sebagaimana yang disiarkan oleh beberapa portal dalam talian hari ini.

“Kita menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, lawatan ini adalah lawatan kerja rasmi dan dakwaan berkenaan adalah usaha memburukkan nama Timbalan Perdana Menteri di samping usaha untuk memecah belah kesatuan dalam UMNO Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Jamal yang juga Ketua UMNO Papar, berkata dalam lawatan ke Sabah kali ini, Zahid juga mengambil peluang bertemu dengan Ketua Bahagian UMNO di Sabah.

Katanya, pertemuan yang diadakan malam ini di sebuah hotel di sini diadakan secara santai dan ramah, tanpa mebabitkan perbincangan isu politik.

Dalam pada itu, Jamal berkata Ahmad Zahid dan UMNO Sabah kekal komited untuk mengekalkan kestabilan politik bersama Kerajaan Perpaduan demi membangunkan negara bersama.

Ahmad Zahid tiba di sini pada kira-kira jam 8 malam tadi sebelum mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO Sabah di sebuah hotel, di sini bermula jam 8.30 malam tadi. – Info X