TENOM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memandang serius isu penyeludupan di kawasan sempadan dengan melihat akta-akta berkaitan di bawah kementerian itu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN kerap membuat penambahbaikan penguatkuasaan daripada semasa ke semasa melalui pelbagai program dan makanisme.
“Saya akan turun ke Perlis pada hujung bulan ini untuk melihat salah satu perkara lagi daripada aspek akta-akta yang terkait di bawah KPDN dan urusan pemantauan di peringkat sempadan.
“Hal ini kerana antara fokus kita di kementeriaan adalah melihat bagaimana penguatkuasaan pemakaian akta-akta di bawah kementerian membabitkan kawasan sempadan.
“Ia penting dalam mengekang isu penyeludupan namun perkara ini turut melibatkan pelbagai agensi lain.
“Contohnya, kes penyeludupan di sekitar perairan bukanlah di bawah KPDN malahan perkara itu di bawah bidang kuasa polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan beberapa agensi lain,” katanya.
Armizan berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksaan Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) membabitkan beberapa pusat penjualan di daerah Tenom, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Mohd Sayuthi Bakar. – Info X