Search

Tiada pergolakan politik di Sabah – Zahid

January 8, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Tiada pergolakan politik besar berlaku di Sabah ketika ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, pertemuannya bersama pemimpin UMNO Sabah malam tadi hanya bertujuan bagi mengemaskini beberapa kerja-kerja politik terutamanya dalam penyusunan struktur jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka pada penghujung tahun depan.

“Malam tadi kami telah mengadakan perjumpaan dengan semua ketua-ketua UMNO bahagian di Sabah dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO.

“Saya ingin menolak dakwaan bahawa terdapat kemelut politik di Sabah malahan sebaliknya keberadaan saya di negeri ini adalah bagi menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023.

“Tidak wujud kemelut politik di Sabah namun perjumpaan saya dengan rakan-rakan kepimpinan politik terutamanya UMNO hanya bertujuan mengemaskini beberapa kerja-kerja politik khususnya di dalam penyusunan struktur jentera setelah selesainya Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN di enam negeri sebelum ini,” katanya.

Zahid berkata, parti itu menjangkakan Sabah merupakan negeri seterusnya yang bakal mengadakan PRN dan walaupun hanya dijangka pada akhir tahun depan, UMNO perlu melakukan tindakan siap siaga dari sekarang.

“Oleh itu, jangan ada mana-mana pihak yang membuat analisis atau spekulasi bahawa sesuatu sedang berlaku dari segi politik di negeri Sabah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023 di Kampung Kedamaian, di sini, hari ini.

Terdahulu, Zahid malam tadi mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO Sabah, dipercayai bagi membincangkan perkembangan semasa politik Sabah.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan berhubung topik perbincangan atau hasil pertemuan tertutup itu yang berlangsung sehingga lewat malam tadi.

Perjumpaan itu antara lain dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, antaranya Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Semua Ketua Bahagian UMNO di Sabah turut hadir pada perjumpaan itu, kecuali Ketua UMNO Tuaran yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak kelihatan.

Perjumpaan dengan kepemimpinan UMNO Sabah itu bersempena lawatan kerja Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ke Sabah untuk menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Kota Belud hari ini. – Info X