Search

Rakan BN pada PRN nanti hanya ditentukan selepas DUN bubar – Zahid

January 8, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) hanya akan tentukan rakan kerjasama mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Pengerusinya, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang penting ialah ‘rakan’ mereka itu nanti tidak memainkan isu parti tempatan atau nasional pada PRN nanti.

“Dalam perkara ni tentunya kepentingan utama ialah mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di seluruh negara manakala semangat itu pada peringkat negeri juga harus ada.

“Hubungan kami (BN) dan PH sangat utuh dan tentunya UPKO akan bersama-sama dengan kami.

“Jika mereka (Warisan) sudi, saya nyatakan bahawa kita sedia kerjasama dengan mana-mana parti tidak kira sama ada parti itu parti besar atau kecil. Paling penting jangan ada slogan dan tiada gerakan bahawa ini parti tempatan di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023 di Kampung Kedamaian, di sini, hari ini.

Zahid berkata demikian ketika ditanya sama ada berkemungkinan bakal wujudnya kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Warisan pada PRN Sabah akan datang.

Sementara itu beliau berkata, politik di negara ini bersifat pragmatik selain jalinan kerjasama boleh dilaksanakan dengan mana-mana parti.

Katanya, perkara utama adalah kerajaan ditubuhkan haruslah mendapat sokongan daripada rakyat secara majoriti.

“Kita sebagai sebuah negara mesti mempunyai minda yang terbuka dan tentunya rakyat boleh menilai hati yang mewakili rakyat di Malaysia.

“Tidak kira daripada mana asal sesebuah parti itu, ia hendaklah sama-sama bekerjasama terutamanya di Sabah utk kita mewakili rakyat dan memajukan ekonomi demi kesjahteraan rakyat,” katanya. – Info X