KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan kerana melakukan 31 kes pecah rumah dan premis perniagaan secara solo hingga menyebabkan kerugian sebanyak 119,965.
Suspek penganggur berusia 20 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sebuah rumah di Taman Keramat, Jalan Tuaran, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit melakukan 31 kes pecah rumah dan premis perniagaan di sekitar bandar raya ini.
“Terutama di kawasan Luyang, Kepayan, Likas, Tanjung Aru, Inanam, dan satu kes di Penampang.
“Suspek aktif melakukan kegiatan pecah rumah secara solo sejak 2023 dan kes terakhir berlaku di sebuah premis perniagaan di Likas pada 31 Disember 2023 lalu. Ia membabitkan kerugian kira-kira RM7,000,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Khairulshah Peri dan Pegawai Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Polis (ASP) Henry AK Laiyau.
Katanya, suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine juga memiliki 11 kes kesalahan lampau membabitkan kes curi, pecah rumah dan melupuskan barang curi.
“Siasatan juga mendapati kerugian yang dialami oleh semua mangsa bagi keseluruhan kes iaitu 31 kes membabitkan tiga kes pecah rumah, 27 kes pecah kedai dan satu kes pecah pejabat berjumlah RM119,965, sepanjang kegiatan jenayah yang dilakukan oleh suspek sejak 2023 sehingga Januari 2024.
“Polis telah merampas beberapa barang hasil aktiviti pecah rumah termasuk generator gronder, set drill, dua set telefon bimbit, empat buah tablet, tiga beg galas berjenama, kad kredit dan peralatan-peralatan pecah rumah,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, soal siasat juga, suspek mengaku melakukan jenayah berkenaan secara solo tetapi polis masih menjalankan siasatan yang lebih teliti untuk mengenalpasti jika ada rakan sejenayah yang terbabit.

“Dalam kejadian jenayah yang dilakukan suspek, beberapa insiden iaitu suspek dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi kita gagal mengenal pasti suspek kerana dia memakai topi dan pelitup muka.
“Bagaimanapun hasil kecekapan pegawai penyiasat, di dalam satu kes pecah pejabat di Likas, pegawai polis berjaya menimbulkan satu cap jari lengkap di tempat kejadian dan hasil penelitian lanjut, telah mengenalpasti terbabit terbabit.
“Susulan itu, polis mengesan butiran suspek dan membuat serbuan di rumah suspek terbabit,” katanya.
Beliau berkata, barang-barang hasil pecah rumah oleh suspek, kebanyakkan dijual secara rawak kepada pengedar dadah tempat di mana suspek mendapat bekalan dadah untuk kegunaan sendiri dan rakannya.
“Ada juga yang dibuang di dalam tasik di Jalan Seri Gaya manakala wang tunai hasil pecah rumah digunakan oleh suspek untuk keperluan harian bagi berbelanja dengan rakannya dan melanggan pelacur dan juga membeli dadah.
“Modus operandi suspek melakukan pecah rumah dan pecah premis perniagaan menggunakan kuku kambing, drill pintu utama dan keluar pintu yang sama,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 380 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 14 Januari 2024 bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih terperinci. – Info X