Search

Tangkap ikan guna ‘spears guns’, empat lelaki ditahan

January 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan empat lelaki menangkap ikan menggunakan panah besi ‘Spear Guns’ menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pagi tadi.

Juragan warga tempatan bersama tiga awak-awak lelaki warga Filipina ditahan APMM Kota Kinabalu di kedudukan 1.36 batu nautika barat daya Pulau Mengalum, kira-kira 11 pagi.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot nelayan tempatan tanpa nombor pendaftaran ditahan bot peronda APMM dalam siri Operasi Sejahtera dan Operasi Tiris kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan panah besi yang tidak dibenarkan.

“Juragan bot warga tempatan juga ditahan bersama tiga orang awak-awak warga Filipina dan dua daripada awak-awak itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh anggota APMM.

“Selain itu juragan bot juga gagal mengemukan lesen bot ketika diminta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Panah besi digunakan suspek untuk menangkap ikan dirampas APMM Kota Kinabalu. – Foto/APMM

Menurutnya, bot, juragan dan awak-awak telah iring masuk ke jeti Maritim Negeri Sabah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Juragan dan awak disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya. – Info X