TAWAU: Dua lelaki ditahan selepas disyaki menunggang motosikal secara berbahaya di dua lokasi berlainan di daerah ini, semalam.
Kedua-dua lelaki yang berusia 20 tahun itu ditahan menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau (BSPT).
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua tangkapan masing-masing dilakukan di kawasan Airport Lama dan Jalan Chong Thien Voon.
Katanya, semasa operasi dijalankan, kedua-dua lelaki terbabit dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dan disyaki melakukan kegiatan menduga kelajuan ataupun ‘merempit’.
“Pasukan operasi bertindak menahan kedua-dua suspek terbabit dan menyita motosikal yang mereka gunakan.
“Kedua-dua suspek terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 81 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kegiatan merempit bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang tetapi turut melibatkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Aktiviti lumba haram atau merempit ini tidak memberi sebarang faedah kerana nyawa mereka yang terlibat menjadi taruhan di jalan raya.
“Selain itu, bunyi ekzos yang bising sebenarnya telah mengganggu ketenteraman orang awam,” katanya.
Sementara itu, Jasmin menyeru orang ramai supaya bersama-sama membanteras aktiviti lumba haram dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan ini kepada pihak polis. – Info X