LAHAD DATU: Seorang penjenayah bersenjata pistol disyaki palsu berputih mata selepas gagal menyamun kedai emas di Dataran Palma, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 8.39 pagi itu, pengurus kedai emas berkenaan yang sedang berkemas untuk memulakan perniagaannya didatangi seorang lelaki memakai topi dan pelitup muka.
Suspek terbabit kemudian ke arah kaunter kedai emas berkenaan dan mengacukan satu objek menyerupai sepucuk pistol disyaki palsu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, suspek terbabit turut menyerahkan satu beg kain berwarna merah kepada mangsa untuk menyerahkan dan memasukkan emas ke dalam beg kain berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan berani mangsa membaling satu batang besi pengukur saiz cincin ke arah suspek berjaya menggagalkan kejadian cubaan samun berkenaan.
“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Pasukan polis sedang berusaha untuk mengesan suspek iaitu seorang lelaki berbadan gempal, tinggi anggaran 167 sentimeter dan berusia awal 40-an berdasarkan siasatan pada kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Rohan Shah berkata, usaha untuk mengesan saksi bebas di tempat kejadian sedang dijalankan bagi mengesan suspek sebenar dalam kejadian itu.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, Asisten Superintendan Suddin Tjinke di talian 017-4881755.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak menggunakan senjata,” katanya. – Info X